BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

1 BeLiA 1 MaLaYsiA

Bismillahirrahmanirrahim Pictures, Images and Photos

Monday, August 30, 2010

AyuH Kita BerDefiNiSi........



.....PATRIOTISME.....


Definisi


Patriotisme adalah semangat yang murni, universal dan bebas daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa.


Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya.


Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan negara ini tidak diganggu-gugat oleh sesiapa.
Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara, agama dan bangsa.


Hanya sesudah itu, bangsa Malaysia perlu dituntut memahami, menghayati dan mengamalkan kebijaksanaan silam bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung; biar putih tulang, jangan putih mata; kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, bila musuh datang melanda, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya!


Mengapa Patriotisme Penting Sekarang?

Di kalangan generasi muda khususnya, patriotisme dikatakan semakin menjadi suatu isu penting. Beberapa faktor dapat dikemukakan bagi menyokong kenyataan tersebut.

Bagaimana Memupuk Patriotisme......??

Menghadapi keadaan di atas, bagaimanakah patriotisme dapat dipupuk dan diterapkan di kalangan generasi muda kita?

Bagi generasi muda di Malaysia, idea patriotisme termaktub di dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (sebelum 1997, Dasar Belia Negara) dan mendasari Program Khidmat Sosial Negara (PKSN) yang diperkenalkan pada lewat 1990-an.

Kini dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikelolakan kerajaan di bawah Kementerian Pertahanan. Dalam dasar dan melalui program ini peningkatan patriotisme dan semangat kesukarelawanan digalakkan melalui kerja-kerja amal, kebajikan dankemasyarakatan. Melalui kegiatan-kegiatan tersebut perasaan simpati, bertimbang rasa dan cinta kepada bangsa dan negara akan bercambah dan berkembang.

Dalam perkara ini, pertubuhan-pertubuhan belia dan sukarela yang lain harus memainkan peranan aktif mereka. Seluruh prasarana, struktur, dan rangkaian kerja belia yang telah wujud sekian lama boleh dimanfaatkan sebaiknya. Dengan program-program yang menarik dan yang boleh mendatangkan kesan positif, para remaja belia kita sepatutnya dapat digemblengkan untuk kegiatan-kegiatan demikian.

Satu kegiatan lain yang boleh dipertimbangkan ialah pendidikan kepenggunaan. Ini bertujuan menyedarkan belia agar menjadi pengguna yang baik dan berhemat. Isu kepenggunaan amat penting bagi generasi muda kerana mereka sering merupakan sasaran penting pihak industri dan pengeluar barangan. Pelbagai bentuk tarikan, nilai dan selera baru dicipta atau diadakan untuk mempengaruhi dan memperdaya remaja belia agar membeli atau terus berbelanja. Itu sebabnya jika pendidikan kepenggunaan dapat dijadikan suatu program utama dan tersebar luas di kalangan remaja belia ia mampu membantu pembangunan ekonomi kita di samping memanfaatkan kehidupan remaja belia sendiri.

Oleh Itu, ayuh bangkitlah generasiku........

Patriotisme diperlukan untuk ketahanan nasional dan menjamin kestabilan, keutuhan dan kelangsungan negara-bangsa.

Kini, oleh sebab pelbagai faktor membantut percambahan dan perkembangan patriotisme khususnya di kalangan generasi muda, maka patriotisme semakin mendapat perhatian luas masyarakat. Ia malahan suatu tuntutan nasional yang mendesak. Pelbagai idea dan rancangan diwujudkan untuk memupuk patriotisme.

Patriotisme bukan persoalan kecil, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara-bangsa yang baru cuba bertapak dan tegak berdiri di atas dekad dan keyakinan sendiri. Di samping berusaha memupuknya dengan berbagai-bagai cara, langkah-langkah berterusan perlu dibuat bagi mencapai tujuan patriotisme, yakni memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan negara-bangsa.







Tuesday, August 3, 2010

KoNSeP 1 MalaYsiA


PENGENALAN 

Rakyat Malaysia  terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. 

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat.  Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. 

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.  Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.

 ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. 

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi.  Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
  
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi.   Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. 

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. 

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia.  Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. 

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik.  Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. 
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. 

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti. 

DEFINISI 

Konsep 1 Malaysia  menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; 
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. 
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Huraian

            Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut : 

1.  Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing. 
 Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing.  Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. 
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja.  Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja.  Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama. 

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara.  Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. 

2.  Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia 
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”  telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi.  Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. 
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.